Monday, May 11, 2009

2009 MISSION (THAILAND)






KAYUHAN SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

Hanya bermula sebagai aktiviti senaman kesihatan diri, kini ia melangkah semakin hebat. Tanpa disangka pada mulanya membeli sebuah basikal untuk menjalani kehidupan lebih sihat pada hujung minggu, bertukar menjadi hobi semakin serius.

Namun, minat mengembara dalam diri ini sememangnya telah bermula sejak di bangku sekolah lagi. Pelbagai cara pengembaraan yang telah saya lalui, sama ada menggunakan kapal, keretapi, kereta, motosikal dan juga berjalan kaki sekalipun.

Kini sedang giat dengan aktiviti berbasikal… Sebenarnya aktiviti basikal ini telah pun bermula sejak tahun 2005 dengan mengelilingi Pulau Mutiara, Pulau Pinang sejauh 96 kilometer satu pusingan. Kemudian misi kedua tahun 2006, saya berbasikal dari kediaman di Cheras menuju ke kampung halaman di Temerloh sejauh 156km selama tujuh jam berbasikal. Aktiviti tahun berikutnya, bersama basikal kesayangan, saya berjaya menakluki puncak Genting bermula dari Genting Sempah. Tahun 2008 Pulau Langkawi pula aku tawan sejauh 86km satu pusingan.

Pada 26 Jan 09 yang lalu aku berkayuh lebih jauh, menglangkau keluar dari negara tercinta. Saya telah berkayuh ke Thailand dalam usaha menimba pengalaman berbasikal melepasi sempadan.

Setelah sekian lama meninggalkan dunia penulisan dan fotografi, saya terfikir supaya kayuhan ini dicoretkan melalui tulisan serba ringkas ini. Mungkin menjadi titik tolak untuk kembali serius dalam dunia penulisan rencana.

******************
Deringan jam telefin bimbit menjaga lenaku…Sekitar jam 5.00 pagi, saya bersedia meninggalkan rumah mertua di Parit Buntar menuju terus ke sempadan. Tepat jam 7.30 pagi sampai di Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam. Saya mengambil 20 minit mempersiapkan mesin kayuhan dan diri untuk bergegas ke sempadan Thailand.

Namun jangkaan untuk masuk lebih awal ke seberang meleset apabila melihat orang ramai berbaris panjang untuk proses cop dokumen passport. Baru teringat pada hari tersebut 26 Januari 09 adalah parayaan Tahun Baru Cina. Sempat saya bertanya kepada pegawai imigresen bertugas. Menurutnya kalau sekadar seberang tidak melebihi satu kilometer sekitar pekan Danuk (bandar kecil betul-betul selepas sempadan Thailand), kemasukan dibenarkan tanpa pas sempadan atau passport.

Satu setengah jam menunggu akhirnya, proses penting di sempadan telah diselesaikan. Proses masuk menggunakan basikal mudah, tiada dokumen tambahan diperlukan seperti menggunakan motosikal atau kereta, sebaliknya membawa passport sahaja sudah memadai.

Ya…..betapa girangnya hati bukan kepalang, selama ini sebagai satu impian menjadi satu realiti kehidupan yang sedang berlangsung. Bukan kerana pertama kali ke Negara orang tetapi kerana keunikan melepasi sempadan dengan basikal. Waktu di Thailand adalah satu jam lewat berbanding Malaysia. Mungkin ada yang terbelengu dengan cara pengembaraan menggunakan basikal, tetapi percayalah..tanya pada mereka yang berminat dengan mesin manual dua roda ini, ia menggambarkan satu keunikan dalam dunia pengembaraan.


Perlahan dan memenatkan… Ya sememangnya..Hakikatnya perlahan itu membenarkan kita melihat suasana persekitaran yang lebih teliti. Daripada itu bayangan kita terhadap apa yang dilihat itu lebih mendalam dan serius.

Bagi ahli fikir, penulis, pengembara, kisaran atau kaitan kehidupan manusia dan alam semulajadi memainkan peranan paling penting dalam proses mencorak idea yang bernas dan berisi. Oleh itu pemerhatian secara dalam dan perlahan inilah memberi ruang lebih kreatif, padat dan berseni.

Waktu Thailand jam 10.00 pagi, sedangkan rancangan awal untuk melepasai sempadan Malaysia adalah jam 8.00 pagi. Saya telah kehilangan dua jam yang begitu penting sebagai penunggang basikal. Cuaca panas adalah penghalang utama dalam kelancaran aktiviti pengembaraan basikal.

Berkayuh perlahan di bawah teduhan pokok-pokok getah yang subur sepanjang jalan menuju ke utara Thailand. Jarak ke Hatyai dari sempadan hanya 60km. Dekat…..akan tetapi berkayuh dengan cuaca matahari yang semakin terik itu memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi. Oleh kerana saya perlu mengawal masa (tidak berhajat untuk bermalam di Thailand), sebaik sahaja sampai di Sadao, saya membuat keputusan untuk menyimpang ke arah barat menuju ke Padang Besar.

Jarak Danuk ke Sadoa adalah lebih kurang 15km dan ke Padang Besar lebih kurang 16km dari pekan Sadao. Bandar Sadoa tidaklah begitu besar, tetapi agak padat. Motosikal mungkin pengangkutan utama di Thailand. Saya terperasan setiap ceruk simpang-simpang kampung, terdapat pondok teksi motosikal. Ia memberi perkhidmatan berbayar dari jalan besar masuk ke laluan kampung. Situasi yang memang tidak ada di tempat kita.

Sepanjang perjalanan dari Sadao ke Padang Besar, keseluruhannya melewati ladang-ladang getah. Mula saya terfikir, sehingga kini saya belum pernah melihat pokok kelapa sawit di sini. Rumah-rumah kampung begitu usang dan daif.

Susu getah yang siap diproses, selepas digiling, ia dijemur panas terik matahari sepanjang jalan, ia memberi aroma tersendiri. Bagi yang tak tahan, mungkin boleh termuntah. Inilah aroma yang tak wujud jika anda menggunakan kenderaan lebih pantas. Dengan berbasikal, anda dapat hidu baunya mengcengkam hidung sehingga telah lali setelah beberapa jam berkayuh melalui laluan tersebut. …..Uhhhhh..


Tepat jam 12.30 tengahari, saya sampai di Padang Bezar (ejaan di Thailand), memang bandar (bahagian Thailand) juga dipangil Padang Besar. Jadi bila berkata tentang Padang Besar, pastikan sama ada ia di bahgian Thailand ataupun Malaysia.

Bandarnya lama, padat dan kebanyakan berdinding papan. Saya cukup suka melihat keadaan bandar-bandar lama. Ia memberi permandangan yang unik dan klasik. Jualan barangan Pakaian beraneka corak dan warna boleh didapati dengan harga yang murah berbanding di Malaysia. Ini mungkin kerana baju-baju berjenama hebat (tiruan) itu dikilangkan di Thailand. Saya tidak mempunyai banyak masa untuk membeli-belah selain meronda sambil berkayuh melihat keindahan bandar klasik itu.

Setiap kali berpeluang ke tempat orang, makanan menjadi satu pencarian yang penting. Asalkan halal, berjiwa pengembara, merasai sebarang makanan tempatan adalah keutamaan setiap kali mengembara. Gerai-gerai tepi jalan menjadi pilihan. Setelah dua kali mengelilingi pekan Padang Besar, saya berhenti makan di sebuah gerai islam yang menawarkan makanan mee sup panas. Sempat perkena ABC Thailand. Melazatkan dan murah…..

Waktu di Thailand jam 1.00 tengahari. Matahari terpacak di atas kepala. Kalaulah…dapat bermandi-manda di sungai, alangkah nikmatnya. Tetapi kita tetap kalah dengan masa. Saya harus berpatah balik semula ke sempadan lebih awal kerana seorang kawan saya dari Kuala Lumpur telah menunggu di sempadan untuk bersama ke Pulau Langkawi.

Setelah beberapa kali mengembara mengguna basikal, selain stamina yang mantap, semangat adalah paling penting. Ia adalah segalanya bila bahang matahari terik membakar diri. Pada saat itu kita akan bertanya, “kenapa aku buat ini, untuk apa dan faedahnya” adalah lebih enak jika saya berada di kamar tidur lengkap dengan penghawa dingin, berehat menonton filem-filem yang hebat. Pada masa itu semangat akan mengambil alih stamina dari badan, walaupun kadang-kala stamina atau tenaga berada di puncak kelemahan, semangat kental itu amat diperlukan untuk menamatkan setiap misi kita dengan jayanya.

Sempat solat berjemaah di sebuah masjid di sebuah kampung Samnak Kham. Para jemaah di situ begitu mesra sehingga salah seorang menawarkan makan tengahari dirumahnya. Apa yang saya dapati mereka amat mengkagumi cara pemerintahan yang di amal di Malaysia yang membuka ruang besar kepada pengganut beragama Islam. Tidak seperti mereka yang sering dipinggirkan kerajaan dan biasanya mereka berdikari daripada mengharapkan bantuan kerajaan.

Saya juga mengkagumi komuniti setempat kampung itu, walaupun kampung itu agak kecil, tetapi ia mempunyai saiz masjid agak luas yang mempunyai dewan kuliah, sekolah dan dapur serba lengkap.

Kayuhan semakin perlahan, bekalan air botol telah habis. Saya menyalah diri sendiri kerana dalam sepanjang perjalanan tadi begitu banyak kedai runcit termasuklah ketika melepasi bandar Sadao. Beberapa kilometer berkayuh selepas solat tadi, saya masih belum menjumpai kedai runcit. Hanya selepas setengah jam selepas itu, barulah terjumpa sebuah kedai usang yang hampir separuh tutup itu. Dalam hati aku berasa was-was pula, sama ada itu kedai atau hanya sebuah rumah yang menyimpan barangan runcit keperluan sendiri.

Rupanya, ia memang kedai runcit dan sempat pula melayan ramah tuan kedai tersebut sambil mempelawa hidangan buah betik yang cukup bagus mengecas kembali tenaga. Persoalan yang paling utama dikemukan kepada Abang Lah (pemilik kedai), adalah mengenai suasana Thailand yang rata-rata ramai mengetahui ketegangan puak-puak pemisah.

Menurutnya ketegangan tersebut memang benar-benar bahaya jika kita berada di Selatan Thailand sebelah timur seperti di Golok, Narathiwat dan Yala. Manakala di bahagian barat atau Songkhla Hatyai dan juga Padang Besar suasana adalah selamat dan kehidupan berjalan seperti biasa. Abang Lah berkata, ramai penduduk melayu di selatan Thailand lebih suka berhijrah mencari rezeki di Malaysia dan menganggap Malaysia sebagai lubuk mata pencarian. Antara bidang yang mendapat sambutan adalah sektor pemakanan melibatkan masakan Tomyam. Siapa tidak tahu tentang keenakan resepi terkenal Thailand itu.

Saya masih ingin terus melayan keramahan rakyat Thailand itu tetapi masih terganggu dengan kesuntukan masa yang terpaksa juga dikejar. Lagipun cuaca mula mendung.

Lima kilometer terakhir, saya mula memecut pantas sehingga mencecah 40 -50km/j, kelajuan biasa bagi seorang pelumba basikal. Tetapi kelajuan itu hanya seketika, maklumlah saya ni bukanlah pelumba professional.

Tidak sampai setengah jam dari persinggahan kedai Abang Lah tadi, saya telah selamat sampai di Danuk. Walaupun rakan saya telah menunggu di Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, sempat saya mencuri lima belas minit mencelah lorong-lorong sempit di Danuk. Pekan kecil ini bukan sahaja menawarkan aktiviti membeli-belah pakaian, buah-buah dan beberapa cenderahati untuk dibekal pulang oleh para pengunjung dari Malaysia, tetapi terdapat banyak juga disko, pub dan juga rumah-rumah urut Siam. Siapa yang tidak tahu tentang kegiatan tidak sihat di Thailand ini.

Walaupun pun ramai yang berpendapat, Thailand tidak seronok untuk dikunjungi kerana kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral itu, tetapi sebenar tidak. Lihat apa niat kita, kita nak cari baik, dapatlah baik. Kita cari tak baik, lain pulah jadinya.

Agak terkilan juga kerana tak dapat ke Hatyai, tetapi ada masa, rezeki dan panjang umur insyaAllah aku akan kembali bersama jentera manual dua roda ini.

Sekurang-kurangnya misi tahun kelima berbasikal telah terlaksana. Semakin menghampiri matlamat utama untuk berkayuh dari Paris ke Madrid untuk misi tahun ke lapan. Misi enam dan tujuh mendatang…..InsyaAllah ada kesempatan waktu akan saya coretkan lagi… Jom Kayuh……





BIODATA PENULIS

Nama: Sheikh Mohd Fadzli Bin Sheikh Saleh

No. K/P: 751119-06-5555

Tarikh Lahit: 19-11-1975

Tempat Lahir: Mentakab, Pahang

Alamat Terkini: No:19 Clemont Courts, Taman Seri Aman 43200 Batu 9, Cheras, Selangor.

Pekerjaan sekarang: Kontraktor Awam

Penglibatan dalam Penulisan Dan Fotografi

Berkerja di Majalah RODA-RODA (motosikal) sebagai ‘Wartawan Foto’ pada tahun 1996 hingga 2003.

Sebagai Jurugambar Bebas 2003-2007

4 comments:

  1. patutla syok bace, penulis rupenye. buleh jual kat majalah ni, hihihi

    ReplyDelete
  2. bro..ayoyo...terkezut gua hahaha....birthday kita sama laaa....gua pun 19 november...tahun?...ayoyo...sama jugalah...19-11-1975!!! waaaaa....gua tak pernah jumpa lagi org sama tarikh lahir dan tahun dengan gua...

    selamat berkenalan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. datang ke kedai saya bro....kedai basikal di bukit beruntung...012-3045668 (sheikh Fadzli)

      Delete
  3. Boleh joint Jugak ni . Travel .....best beno

    ReplyDelete